Bantuan Awal Persekolahan RM150 diagih satu hingga dua minggu lagi

5 Jan 2026, 7:08 AM
Bantuan Awal Persekolahan RM150 diagih satu hingga dua minggu lagi

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap pelajar, yang dijangka diagihkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan melibatkan pelajar daripada peringkat prasekolah hingga Tingkatan Enam, berbanding sebelum ini yang terhad sehingga Tingkatan Lima sahaja.

Menurut beliau, pemberian bantuan tersebut disertakan dengan syarat ibu bapa atau penjaga wajib hadir ke sekolah bagi memastikan wang bantuan digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak, selain membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan guru.

“Kita syaratkan ibu bapa harus pergi ke sekolah, memastikan wang itu dibelanja untuk anak dan pada masa sama mendengar sendiri daripada guru mengenai masalah anak mereka.

“Bantuan ini tidak boleh diwakilkan kepada pihak lain, termasuk anak sendiri, memandangkan peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar iaitu sebanyak RM800 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bantuan awal persekolahan RM150 secara pemberian sekali (one-off) kepada murid sekolah bagi membantu meringankan beban kos penyediaan kelengkapan persekolahan.