SHAH ALAM, 5 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa langkah penting kerajaan bagi menangani isu kritikal yang sedang dihadapi rakyat menerusi Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) esok.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan pengumuman berkenaan dijangka dibuat selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada jam 9 pagi.
“Esok adalah hari Isnin pertama Januari, perdana menteri memanggil jemaah menteri untuk mesyuarat khas membincangkan isu terdesak.
“Selepas itu, beliau akan menyampaikan amanat yang dijangka menjadi platform penting untuk umum langkah baharu kerajaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25.
Anthony berkata pengumuman itu mencerminkan kesungguhan kepimpinan kerajaan menangani isu rakyat, khususnya melibatkan ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi.
“Saya yakin esok akan ada beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri yang menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menangani isu serta masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.
Antara perkara dijangka diberi perhatian ialah usaha menangani rungutan komuniti perniagaan, termasuk pemulangan cukai dan inisiatif merangsang keyakinan ekonomi.








