HULU SELANGOR, 4 JAN: Agenda reformasi negara memerlukan komitmen berterusan daripada kepimpinan serta sokongan padu rakyat bagi memastikan perubahan yang dirancang dapat direalisasikan secara menyeluruh, kata ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Tanjong Karang.
Mohd Yahya Mat Sahri proses reformasi tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya bermula daripada gerakan reformasi di jalanan sehingga menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Hasil reformasi, hari ini kita saksikan Gagasan Malaysia Madani memberi penekanan kepada pembinaan rakyat yang bertamadun, selain menegaskan prinsip pemisahan kuasa termasuk ketiadaan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli KEADILAN Norazimah Mohd Nor berkata setiap agenda reformasi memerlukan tempoh masa untuk dicapai seiring dengan perubahan dan keperluan semasa masyarakat yang semakin kompleks.

“Rakyat juga perlu bertanggungjawab serta mengelakkan sikap mengambil kesempatan atau menafikan hak pihak lain kerana kejayaan reformasi bergantung kepada kesedaran dan integriti semua pihak,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Nor Azrina Surip pula berkata aspek tatakelola yang baik perlu diberi keutamaan termasuk usaha memperkukuh sistem pentadbiran, menyelaras kerjasama merentasi jabatan serta mengambil tindakan tegas bagi membanteras rasuah.

“Reformasi perlu difahami secara menyeluruh agar setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat sekali gus berupaya membawa Malaysia ke arah kesejahteraan yang mampan,” katanya.
Semalam, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program berkenaan menegaskan perjuangan untuk mengubah dan menambah baik sistem negara mesti dilaksanakan secara waras, berprinsip dan berlandaskan nilai integriti.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata usaha menuntut perubahan sistem bukan didorong oleh kepentingan peribadi atau jawatan menteri sebaliknya, bertujuan mewujudkan sistem yang lebih adil serta memastikan kuasa digunakan secara bertanggungjawab dan bijaksana.









