SHAH ALAM, 4 JAN: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) terus memperkukuh komitmen dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) apabila giat merancang pelayaran seterusnya bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Fauziah Mohd Hasan berkata dengan sasaran misi pada skala lebih besar dengan penglibatan lebih banyak negara sekali gus memperluas sokongan antarabangsa terhadap usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menuntut keadilan buat rakyat Palestin.
“Saya baru balik dari Dublin, kita mewakili MyCARE di FFC membuat perancangan untuk pelayaran seterusnya. Kita ada buat ‘post-mortem’ dan strategi baru untuk pelayaran memecahkan kepungan ini.
“Kita juga ada buat kolaborasi dengan Global Sumud dan Thousand Madleens, dalam perbincangan lagi untuk buat satu flotila yang lebih besar mungkin pada musim bunga.
“Kita cuba untuk mendapatkan lebih banyak kapal, lebih banyak sokongan, lebih banyak pelabuhan dan sebagainya. Seramai mungkin,” katanya kepada Media Selangor selepas menyampaikan perkongsian dalam forum Wanita dan Perjuangan Palestin: Memecah Kepungan, Menyubur Harapan di sini baru-baru ini.
Mengulas penglibatan anak muda dalam misi kemanusiaan, katanya golongan itu perlu didedahkan dan dilibatkan seawal mungkin agar dapat membina kesedaran, kefahaman serta rasa tanggungjawab terhadap isu kemanusiaan sejagat.

“NGO macam cendawan. Jadi pilihlah NGO mana yang sesuai dengan jiwa dan juga dipercayai, ada rekod baik dan amanah untuk sama-sama kita menyumbang idea.
“Jadi kita nak ramai lagi penglibatan sebab musuh di sana pun giat membuat langkah untuk mematahkan ini, kita pun kena buat strategi dan gembleng ramai lagi tenaga untuk terus memberi tekanan berterusan,” katanya.
Dr Fauziah merupakan antara delegasi Malaysia yang menyertai gelombang ketiga flotilla kemanusiaan di bawah FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) pada September lalu dalam usaha memecah sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Bagaimanapun, kapal Conscience yang dinaikinya ditahan tentera Israel selepas dipintas pada 8 Oktober lalu.
Misi tersebut dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG, melibatkan 10 bot yang berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Media sebelum ini melaporkan hujan lebat dan angin kencang akibat sistem cuaca tekanan rendah menyebabkan 17 bangunan runtuh serta lebih 42,000 khemah atau pusat perlindungan rosak, menjejaskan sekurang-kurangnya 235,000 orang antara 10 hingga 17 Disember lalu.
Gelombang baharu cuaca tekanan rendah yang melanda Gaza sejak hujung minggu lalu turut mengakibatkan kematian dua orang serta memusnahkan puluhan ribu khemah, menurut pasukan pertahanan awam.












