SHAH ALAM, 3 JAN: Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mencuri tumpuan dunia bola sepak antarabangsa apabila tersenarai sebagai pemain keempat yang mencatat kejayaan menggelecek terbanyak berdasarkan statistik Sofascore.
Menerusi kemas kini di laman media sosial Sofascore, pemain berusia 23 tahun itu merekodkan 224 gelecekan dalam 35 perlawanan divisyen satu yang diharunginya.
Jumlah tersebut menyaksikan Arif Aiman mengatasi pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku yang mencatat 212 gelecekan namun dalam 52 perlawanan, iaitu 17 perlawanan lebih banyak berbanding pemain Harimau Malaya itu.
Kelincahan Arif Aiman khususnya di bahagian sayap kanan sering menjadi ancaman kepada pertahanan lawan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain sayap paling berkesan ketika ini.
Bagaimanapun, Arif Aiman Ketika ini terpaksa berehat tiga bulan selepas mengalami kecederaan hamstring dan menjalani pembedahan bersama pakar perubatan sukan terkemuka, Lempainen Lasse, lapor Berita Harian.
Dalam senarai tersebut, bintang Barcelona dari Sepanyol, Lamine Yamal mendahului carta dengan 307 gelecekan dalam 61 perlawanan, diikuti pemain Union Saint-Gilloise, Guilherme Smith yang mencatat 251 gelecekan dalam 25 perlawanan.
Jose Mario Pinto dari CD Olimpia berada di tangga ketiga dengan 238 gelecekan dalam 53 perlawanan.
Nicolas Vallejo pula mencatat 200 gelecekan dalam 36 perlawanan di tangga keenam, diikuti Olawale Tanimowo (JK Tammeka) dengan 199 gelecekan dalam 34 perlawanan.
Pemain Sogdiana, Ljupche Doriev merekodkan 193 gelecekan dalam 30 perlawanan, manakala Mariano Peralte Bauer (Borneo Samarinda) mencatat 192 gelecekan dalam 32 perlawanan.
Caio Vidal dari Ludogorets Razgrad melengkapkan senarai 10 teratas dengan 185 gelecekan dalam 39 perlawanan.



