PAPAR, 2 JAN: Bayi lelaki cukup sifat ditemukan di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Bongawan, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata polis menerima laporan berhubung penemuan bayi itu jam 1.20 pagi daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun.
Menurutnya, sepasukan anggota polis ke lokasi sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Papar bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita yang membuat laporan tersebut disyaki mempunyai kaitan dengan bayi terbabit.
“Pada peringkat awal, wanita berkenaan mendakwa menemui bayi itu di tandas stesen minyak berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Heryan berkata penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stesen minyak berkenaan menguatkan syak bahawa wanita itu mempunyai kaitan langsung dengan bayi tersebut.
Beliau berkata bayi lelaki berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima pemantauan pihak hospital, manakala wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau mana-mana balai polis berhampiran.



