SHAH ALAM, 2 JAN: Menyeragamkan pakaian sekolah di seluruh negara mampu meringankan beban ibu bapa seterunya memudahkan urusan pelajar.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pihaknya mengalu-alukan perkara tersebut.
"Saya rasa ada baiknya untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaraskan pakaian sekolah supaya tidak kelihatan terlalu bercampur terutama berkaitan warna.
"Perkara ini juga melegakan ibu bapa sekiranya anak mereka berpindah ke sekolah lain, ia tidak melibatkan kos tambahan untuk membeli pakaian baharu," katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Dr Mohamad Ali turut mencadangkan supaya pakaian sekolah berwarna lebih gelap bagi murid sekolah rendah manakala pakaian cerah bagi pelajar sekolah menengah.
Jelasnya, ia berikutan murid sekolah rendah masih kecil dan cepat resah mungkin agak sukar untuk menjaga kebersihan berbanding pelajar sekolah menengah.
"Saya juga cadangkan agar baju pengawas sekolah di seluruh Malaysia dapat diselaraskan dan tiada perbezaan seperti sekarang.
"Hal ini memudahkan ibu bapa agar tidak perlu membeli baju baharu lagi sekiranya anak mereka berpindah sekolah dan dilantik lagi sebagai pengawas," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan KPM bercadang menyeragamkan pakaian sekolah di seluruh negara bagi mengurangkan perbezaan warna dan kos persekolahan yang ditanggung ibu bapa.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata cadangan itu hasil kajian menyeluruh sejak September lalu yang melibatkan pelbagai pihak serta meneliti semua aspek berkaitan.
Beliau berkata keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumumkan pada Ogos 2026 sebelum pelaksanaannya dibuat secara berperingkat bermula 2027, melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu.



