AMPANG JAYA, 3 JAN: Denda hingga RM2,000 serta hukuman tambahan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam terhadap kesalahan membuang sampah bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
Menyambut baik inisiaif tu, seorang peniaga Abdul Manaf Jumaht, 31, berkata pendekatan penguatkuasaan undang-undang tersebut penting bagi membentuk disiplin awam sekali gus memastikan persekitaran kekal bersih.

“Jika denda RM2,000 dikenakan, orang akan lebih takut dan berhati-hati. Ia boleh mendidik masyarakat supaya tidak buang sampah merata-rata,” katanya ketika ditemui pada sambutan ambang Tahun Baharu 2026 di Pusat Membeli-Belah Spectrum baru-baru ini.
Pengunjung Shafiqah Shamshul Anwar, 29, pula berkata undang-undang tersebut wajar dilaksanakan memandangkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat masih rendah.

“Namun undang-undang ini baharu akan dikuatkuasakan mulai 2026, jadi kita perlu lihat keberkesanannya terlebih dahulu. Jika masih tidak berkesan, kerajaan mungkin perlu pendekatan yang lebih tegas,” ujarnya.
Pelajar Institut Pengajian Tinggi, Syafiqah Azlan, 23, mengakui denda tersebut agak tinggi, namun berpendapat ia wajar dilaksanakan bagi mendidik masyarakat.

“Sebagai pelajar, RM2,000 memang jumlah yang besar dan jika saya menerima denda tidak mampu untuk membayarnya. Tetapi ia cukup untuk buat orang berfikir dua kali sebelum buang sampah,” tambahnya.
Berkongsi pandangan berbeza, Rohana Ibrahim, 51,memberitahu denda RM2,000 terlalu membebankan untuk peringkat awal pelaksanaan.
“Undang-undang ini bagus, tetapi boleh mulakan dengan amaran keras atau khidmat masyarakat dahulu.
“Keadaan ekonomi sekarang mencabar dan jumlah denda ini terlalu tinggi jika dibandingkan dengan saman lain seperti kesalahan memandu baru RM300,” jelasnya.
Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peringatan akhir susulan perintah khidmat masyarakat bakal berkuat kuasa mulai tahun ini, sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.
Menterinya Nga Kor Ming berkata pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu, yang bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik.
“Sesiapa sahaja termasuk warga asing yang membuang sampah di tempat awam akan didenda RM2,000 dan wajib menjalani kerja-kerja pembersihan awam selama 12 jam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.




