SHAH ALAM, 5 MAC: Kompaun RM1,000 dan tindakan mahkamah menanti peniaga yang membuang sampah, sisa makanan atau minyak ke dalam longkang di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Pihak berkuasa tempatan itu tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan awam sehingga menyebabkan sistem saliran tersumbat dan meningkatkan risiko banjir kilat.
“Antara tindakan mahkamah yang boleh dikenakan adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta mana-mana Undang-Undang Kecil berkaitan yang berkuat kuasa di MPKj,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
MPKj juga menggesa peniaga untuk menyediakan dan menyelenggara perangkap minyak (grease trap) dengan baik, selain memastikan kawasan belakang premis sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan.
“Kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama. Peniaga perlu memainkan peranan untuk memastikan saliran berfungsi dengan baik dan kawasan premis sentiasa selamat serta bersih,” tegas MPKj.
Menerusi hantaran sama, MPKj turut berkongsi video melaksanakan kerja pembersihan longkang di kawasan perniagaan Sungai Long, bagi mengeluarkan mendapan lumpur, minyak dan sisa pepejal yang berpotensi menyebabkan saliran tersumbat.






