SAH ALAM, 1 JAN: Sambutan Tahun Baharu 2026 malam tadi berlangsung meriah dan harmoni, menandakan pembukaan rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) sekali gus menjadi pemangin dalam memacu sektor pelancongan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata suasana sambutan itu bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian budaya Malaysia, malah menzahirkan semangat kebersamaan rakyat menyambut tetamu antarabangsa.
"Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan dalam suasana aman dan tertib.
"Moga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional, serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global," katanya dalam hantaran Facebook.

Sambutan di Pavilion Kuala Lumpur itu diadakan di bawah program Festival Ambang Tahun Melawat Malaysia 2026, sebagai usaha memacu momentum awal bagi mencapai sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa.
Acara turut menampilkan pertunjukan visual dan persembahan budaya, menegaskan kemampuan Malaysia menganjurkan sambutan bertaraf antarabangsa dengan suasana aman dan teratur.
Dengan pelancaran TMM 2026, kerajaan mensasarkan pertumbuhan mampan sektor pelancongan, membuka peluang ekonomi kepada rakyat serta mengekalkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra dan inklusif.





