Helikopter Super Lynx TLDM mendarat cemas di Pantai Klebang

1 Jan 2026, 12:28 AM
Helikopter Super Lynx TLDM mendarat cemas di Pantai Klebang

SHAH ALAM, 1 JAN: Sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, Melaka pada jam 10.50 malam tadi.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku ketika pesawat itu sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut kenyataan itu, empat kru udara berada di dalam pesawat ketika kejadian dan kesemuanya berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

“Semua kru berada dalam keadaan sedar dan stabil serta kini dipantau oleh pasukan perubatan,” menurut kenyataan itu di Facebook.

Susulan insiden berkenaan, TLDM telah mengambil tindakan segera dengan mengatur operasi salvaj pesawat serta menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam masa sama, TLDM menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian bagi menjaga sensitiviti serta memastikan kelancaran proses siasatan yang sedang dijalankan.