SHAH ALAM, 3 JAN: Isu keganasan rumah tangga di Malaysia sering dikaitkan dengan golongan wanita, namun kes melibatkan mangsa lelaki menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan dan negeri kini mempergiat usaha bagi memastikan isu berkenaan diberi perhatian dan sokongan secara saksama, tanpa mengira jantina.
Di peringkat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyediakan perkhidmatan sokongan kepada semua mangsa keganasan rumah tangga, termasuk kaunseling serta tempat perlindungan selamat bagi mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh atau sokongan keluarga.
Jurucakap JKM Selangor memaklumkan perintah perlindungan kecemasan dan perintah perlindungan sementara turut dikeluarkan kepada mangsa tanpa mengira jantina, selain usaha berterusan untuk memperkukuh kesedaran serta jangkauan sokongan.
“JKM tidak menyediakan perkhidmatan yang direka khas untuk mangsa lelaki. Bagaimanapun, sokongan yang sama tersedia untuk semua mangsa.
“Mangsa lelaki juga diberi pilihan untuk menerima perkhidmatan kaunseling atau psikologi daripada pegawai lelaki untuk keselesaan mereka,” menurut JKM Selangor dalam maklum balas bertulis kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Noraini Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat pada 30 Oktober lalu mendedahkan lebih 6,000 lelaki dilaporkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau penderaan dalam tempoh empat tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 1,778 kes melibatkan mangsa lelaki direkodkan pada 2022, 1,213 kes (2023) dan 1,865 kes (2024) manakala 1,183 kes dilapor setakat Julai tahun ini.

Bagaimanapun, data JKM menunjukkan hanya 21 mangsa lelaki mendapatkan bantuan pada 2023, 19 mangsa (2024) serta 18 mangsa setakat September tahun ini.
Menurut Noraini, jurang ketara itu menunjukkan rasa malu, ketakutan dan stigma sosial masih menjadi penghalang utama mangsa lelaki untuk tampil mendapatkan bantuan.
Galak lelaki tampil dapatkan sokongan
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri sedang berusaha menangani stigma dan tekanan masyarakat yang menghalang lelaki daripada mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, inisiatif itu digerakkan menerusi sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan peringkat negeri pada bulan lalu, yang mengetengahkan peranan lelaki dalam institusi keluarga.
“Kami memperkenalkan tema yang memfokuskan pada peranan lelaki dalam keluarga, termasuk bagaimana mereka harus menghadapi jangkaan masyarakat sambil berfungsi sebagai tonggak rumah tangga, baik sebagai bapa penyayang dan suami yang menyokong,” katanya.
Anfaal berkata, sambutan tersebut turut menampilkan kempen anti-keganasan berasaskan jantina oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi menangani keganasan rumah tangga melibatkan semua jantina.
“Kempen ini dilaksanakan di media sosial serta di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama JKM.
“Ia termasuk mengenal pasti keganasan rumah tangga, menggalakkan mangsa tampil melalui saluran yang betul dan selamat, serta menyediakan sokongan kepada mangsa,” katanya.

Program sokongan keluarga
Di peringkat Persekutuan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui KPWKM giat melaksanakan program ‘Lelaki Budiman Negara’ bagi memperkukuh institusi keluarga dan pembangunan modal insan.
Inisiatif itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada pembangunan modul pendidikan untuk memperkasakan lelaki sebagai suami, bapa dan masyarakat bertanggungjawab.
KPWKM turut menubuhkan Jawatankuasa Membanteras Keganasan Rumah Tangga (JKRT) sebagai platform utama penyelarasan dan pemantauan usaha membanteras keganasan rumah tangga.
Selain itu, menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), KPWKM menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi menyediakan sokongan psikososial holistik termasuk kaunseling dan rujukan bantuan kebajikan.
Operasi PSSS dilaksanakan secara berkala di premis tetap dan secara mudah alih bagi memastikan perkhidmatan kebajikan komuniti dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
KPWKM juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kempen kesedaran keibubapaan serta menyediakan sokongan psikososial melalui talian hotline 15999.
Sebagai alternatif, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkenalkan Talian Heal 15555 sejak 2022 bagi membantu individu yang berdepan masalah kesihatan mental.
Sokongan kepada mangsa lelaki masih terhad
Walaupun perlindungan undang-undang dan pelbagai bantuan tersedia, pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan sokongan kepada mangsa lelaki masih terhad dan kurang menonjol berbanding perkhidmatan untuk wanita.

Dr Muhammad Hanif Abd Latif berkata, kemudahan perlindungan dan penginapan selamat untuk lelaki masih kurang, dengan kebanyakan fasiliti mengutamakan wanita dan kanak-kanak.
“Akibatnya, ramai mangsa lelaki bergantung kepada rakan atau keluarga, tempat perlindungan umum atau perumahan jangka pendek yang diatur pihak kebajikan,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya pihak berkepentingan menyediakan perkhidmatan mesra lelaki, melatih petugas barisan hadapan yang peka terhadap isu lelaki serta menjamin kerahsiaan bagi mengurangkan rasa takut dan malu.
“Kempen dan pendidikan awam harus menekankan keganasan rumah tangga bukan isu wanita semata-mata dan penderitaan tidak mengenal jantina.
“Laporan media juga perlu mendedahkan pengalaman mangsa lelaki bagi menyampaikan mesej bahawa tidak mengapa untuk mereka tampil mendapatkan bantuan,” katanya.


