Luka yang tidak kelihatan, derita lelaki mangsa keganasan rumah tangga

4 Jan 2026, 1:00 AM
Luka yang tidak kelihatan, derita lelaki mangsa keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 4 JAN: Keganasan rumah tangga terhadap lelaki jarang meninggalkan kesan yang boleh dilihat mata kasar. Tiada lebam mahupun tulang patah untuk dijadikan bukti.

Sebaliknya, penderitaan itu tersembunyi dalam bentuk ketakutan, rasa malu dan kepercayaan bahawa dunia tidak akan mempercayai mereka.

Walaupun statistik rasmi merekodkan lebih 6,000 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak empat tahun lalu, Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) percaya jumlah sebenar adalah jauh lebih besar kerana ramai memilih untuk berdiam diri.

Presiden FRAM, Malcolm Fernandez berkata mangsa lelaki sering berdepan ejekan apabila bersuara, tekanan sosial untuk kelihatan kuat, selain kebimbangan kehilangan akses terhadap anak sekiranya penderaan didedahkan atau dilaporkan.

“Daripada pengalaman FRAM, mangsa lelaki biasanya tidak melaporkan penderaan kerana takut diejek, kehilangan akses kepada anak-anak mereka, keadaan sosial bahawa lelaki tidak boleh menjadi mangsa, dan tiada siapa yang akan mempercayai mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Presiden Persatuan Hak Bapa Malaysia, Malcolm Fernandez. Foto Malcolm Fernandez

Pada 30 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad memaklumkan Dewan Rakyat bahawa lebih 6,000 lelaki dilaporkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau penderaan sejak empat tahun lalu.

Menurut beliau, polis menerima sebanyak 1,778 kes melibatkan mangsa lelaki pada 2022, diikuti 1,213 kes (2023), 1,865 kes (2024) serta 1,183 kes setakat Julai tahun ini.

Noraini turut mengakui rasa malu, ketakutan dan stigma sosial menjadi faktor utama yang menghalang ramai mangsa lelaki daripada tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.

Kesan mental akibat penderaan

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Hanif Abd Latif berkata lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sering berdepan halangan psikologi yang mendalam sehingga mengekang mereka daripada melaporkan kes tersebut.

Beliau yang juga pakar psikiatri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menjelaskan stigma bahawa lelaki mesti kuat dan tidak boleh menunjukkan emosi menyebabkan ramai mangsa memilih untuk menderita dalam diam.

Keadaan itu, katanya, merupakan penderaan emosi yang boleh memberi kesan serius termasuk kebimbangan, kemurungan, gejala gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD malah kecenderungan untuk membunuh diri.

“Lelaki sering berasa malu untuk mengakui mereka didera oleh pasangan, kerana bimbang ia akan menjejaskan kejantanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, mangsa lelaki juga cenderung memendam rasa bersalah, berasa rendah diri dan menjauhkan diri daripada rakan serta keluarga.

Mereka turut berdepan perubahan tingkah laku seperti mudah marah, keletihan, sukar menumpukan perhatian dan penurunan produktiviti di tempat kerja.

Lelaki sering berasa malu untuk mengakui mereka didera oleh pasangan, kerana bimbang ia akan menjejaskan kejantanan mereka. Foto Arkib Media Selangor

“Penderaan emosi boleh meninggalkan parut yang dalam dan tidak kelihatan pada mangsa lelaki, yang menjejaskan kesihatan mental dan fungsi harian mereka.

“Apabila penderaan rumah tangga bukan fizikal tetapi emosi atau lisan, kesannya terhadap jiwa mangsa lelaki boleh menjadi sangat mendalam.

"Hidup dengan penghinaan, ancaman atau cemuhan yang berterusan meletakkan lelaki dalam keadaan tekanan dan rasa malu yang kronik,” katanya.

Jurang sokongan kepada mangsa lelaki

Dalam pada itu, Malcolm berkata cabaran membantu mangsa lelaki diburukkan lagi oleh jurang struktur dalam sistem sokongan sedia ada.

Menurutnya, hampir keseluruhan tempat perlindungan keganasan rumah tangga di negara ini direka khusus untuk wanita, menyebabkan mangsa lelaki tidak mempunyai ruang perlindungan apabila berada dalam krisis.

Walaupun secara dasar wujud perintah perlindungan, kaunseling dan tempat perlindungan yang bersifat inklusif jantina, katanya, akses sebenar kepada kemudahan itu masih terhad.

“Buat masa ini, lelaki tidak kelihatan di dalam sistem yang secara teknikalnya merangkumi mereka,” katanya.

Beliau berkata stigma sosial turut menyebabkan mangsa lelaki berasa terasing, selain bimbang laporan penderaan boleh mendedahkan mereka kepada dakwaan balas.

“Ini adalah dan mungkin menjadi ketakutan utama bagi kebanyakan lelaki. Sistem ini tidak selamat secara psikologi untuk mangsa lelaki,” katanya.

Laksana pembaharuan segera

Selain isu akses sokongan, Malcolm yang juga peguam sivil menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dakwaan keganasan rumah tangga dalam kes hak penjagaan anak dan perceraian.

Stigma sosial menyebabkan mangsa lelaki berasa terasing dan bimbang laporan penderaan membawa kepada dakwaan balas. Foto Arkib Media Selangor

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, dakwaan palsu kadangkala digunakan untuk menyekat bapa daripada bertemu anak, mempengaruhi isu hak penjagaan atau memberi tekanan dalam penyelesaian kewangan, khususnya sebelum atau semasa prosiding mahkamah.

“Perlindungan amat diperlukan, termasuk pemeriksaan awal berasaskan bukti, penalti bagi dakwaan palsu yang terbukti dan amaran kehakiman terhadap perintah kecemasan berat sebelah,” katanya.

Bagi menutup jurang sedia ada, beliau menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan segera dan praktikal termasuk penubuhan tempat perlindungan khusus untuk lelaki, latihan mandatori kepada polis serta perintah perlindungan sementara yang dipercepatkan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan kempen kesedaran awam, pengawasan bebas terhadap penyalahgunaan perintah perlindungan serta penggunaan alat penilaian risiko yang neutral jantina.

“Ini adalah pembaharuan yang menyelamatkan nyawa, bukan tuntutan ideologi,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Malcolm mengakui kerajaan kini mula mengambil langkah ke arah menyokong mangsa keganasan rumah tangga melibatkan lelaki dan golongan bapa.

Antaranya, beliau memuji Modul Kebapaan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang disifatkan sebagai langkah proaktif untuk menangani isu berkenaan.

Apa reaksi anda?