SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Negeri Selangor akan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran pendermaan organ bagi menambah jumlah penderma, selari dengan agenda nasional Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih berdepan kadar penyertaan rendah.
EXCO Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pendermaan organ akan menjadi antara teras utama dasar kesihatan negeri bermula 2026, seiring komitmen kerajaan negeri memperkukuh kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
"Inisiatif berkenaan juga mengambil kira kadar pendermaan organ dalam negara yang masih rendah dan memerlukan perhatian serta tindakan bersepadu di semua peringkat.
“Kempen dirancang bukan sahaja memfokuskan kepada pendaftaran penderma, tetapi juga memberi penekanan kepada kesedaran awam supaya keluarga menghormati hasrat individu untuk menderma organ.
“Kita (Kerajaan Negeri Selangor) menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan kerana perkara ini memang penting dan memerlukan komitmen bersama,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata pemindahan organ akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan selaras usaha KKM menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat untuk memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan seluruh negara.
Selain itu, pengukuhan kesihatan mental remaja menerusi Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), termasuk pelaksanaan program rintis Peer-Z di sekolah terpilih sebagai intervensi awal berasaskan sokongan rakan sebaya turut menjadi fokus Kerajaan Negeri.
“Pelajar yang berdepan tekanan emosi akan dibantu oleh rakan sebaya terlatih sebelum dirujuk kepada kaunselor sekolah atau pakar kesihatan mental sekiranya memerlukan intervensi lanjut,” katanya kepada Media Selangor.
Jamaliah berkata, akses kesihatan rakyat akan terus dipelihara menerusi kesinambungan pelbagai inisiatif sedia ada termasuk Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor (BSS), Selangor Saring, Selangor Kanser, Skim Rawatan Jantung, Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) serta Skim Insurans Hayat Selangor (SLIM).
Dalam masa sama, aspek penjagaan kesihatan warga emas akan diperkukuh merangkumi saringan berkala, rawatan fisioterapi dan pemantauan susulan yang lebih sistematik, manakala kempen pencegahan awal termasuk kesedaran bahaya rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja akan diteruskan.
Mengulas agenda kelestarian, beliau berkata Selangor akan memperkenalkan Program Rakan Bumi selain mempergiat kempen bebas plastik sebagai sebahagian komitmen negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Beliau menegaskan keseluruhan inisiatif itu mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri untuk membina sistem kesihatan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan demi kesejahteraan rakyat Selangor.


