SHAH ALAM: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan Islam negara apabila merekodkan lebih 100,000 kunjungan pelancong sepanjang tahun ini.
Imam Besarnya, Dato’ Muhammad Farhan Wijaya berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan masjid atau mosque tourism.
Menurut beliau, jumlah pelawat berkenaan melibatkan pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk dari Eropah, Asia Barat serta Asia Timur, khususnya Jepun dan China, yang menjadikan masjid ikonik itu sebagai destinasi utama ketika berkunjung ke Selangor dan Lembah Klang.
“Peningkatan jumlah pelawat ini menunjukkan masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi turut berperanan sebagai ruang menyebarkan keindahan Islam kepada semua.
“Kita melihat minat yang tinggi khususnya dalam kalangan pelancong bukan Islam untuk memahami seni bina, sejarah serta nilai-nilai Islam yang bersifat sejagat,” katanya dalam kenyataan.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terkenal dengan kubah biru terbesar di Asia Tenggara serta empat menara setinggi 142.3 meter menawarkan pengalaman pelancongan berbeza menerusi seni bina Islam moden yang menggabungkan elemen Melayu dan Timur Tengah.

Keindahan ruang dalaman masjid negeri ini termasuk kaligrafi, ukiran kayu serta susun atur ruang solat yang luas turut menjadi antara tarikan utama kepada pelawat.
Selain keunikan seni bina, peningkatan jumlah kunjungan turut disumbang oleh pelaksanaan program pelancongan masjid yang tersusun menerusi Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG).
Sepanjang 2025, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk sesi lawatan berpandu, penganjuran Mosque Open Day, taklimat pelancongan masjid serta program penerangan Islam secara santai dan mesra pelawat.
Masjid ini turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan, institusi pendidikan, penggiat industri pelancongan dan badan bukan kerajaan bagi memastikan pengalaman lawatan yang ditawarkan bersifat informatif, beretika serta menghormati sensitiviti ibadah.
Dalam konteks pembangunan pelancongan negeri, pencapaian itu selari dengan aspirasi Selangor untuk memperkukuh segmen pelancongan berasaskan budaya dan warisan Islam.
Masjid berkenaan turut dilihat berperanan sebagai 'pintu masuk' kepada naratif pelancongan Islam yang lebih inklusif, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Menjelang tahun 2026, pihak pengurusan masjid menyasarkan untuk terus memperkasa program mosque tourism secara lebih tersusun dan mampan.


