SHAH ALAM, 30 DIS: Amalan adat Melayu yang berteraskan ajaran Islam, termasuk melalui warisan seni mempertahankan diri seperti silat gayong berperanan penting dalam membentuk adab, sahsiah serta jati diri bangsa Melayu.
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata hubungan erat antara Islam dan adat Melayu tidak wajar dipisahkan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membina masyarakat yang berakhlak dan beridentiti kukuh.
“Kaitan rapat bangsa Melayu dan Islam serta bagaimana adat Melayu jika diamalkan dengan asas agama Islam dapat membentuk adab dalam masyarakat.
“Saya doakan semoga jurulatih seni silat gayong terus gigih melatih dan membentuk jati diri anak bangsa Melayu dengan penuh taat setia, jujur dan amanah,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Beliau berkata demikian ketika menzahirkan sokongan terhadap peranan seni silat sebagai medium pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi turut menerima Sandang Kehormat Mahkota Agung Seri Relang Pelangi yang dianugerahkan oleh Waris Amanah Mahaguru Mutlak Silat Seni Gayung Malaysia dan Serantau, Datuk Prof Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memartabatkan nilai agama, adat serta warisan bangsa.
Terdahulu, Majlis Penganugerahan Sandang Kebesaran Seni Silat Gayung Malaysia berlangsung di Dewan Komuniti BU11, Bandar Utama, Petaling Jaya bagi menghargai tokoh serta individu yang komited memelihara seni silat sebagai warisan budaya Melayu.



