SHAH ALAM, 30 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kini berada pada tahap lebih kukuh dan ikhlas, berbanding pergolakan politik yang melanda kerajaan negeri pimpinan pembangkang.
Beliau berkata, kesepakatan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan berjaya dipelihara tanpa sebarang unsur sabotaj atau pengkhianatan dalaman.
“Saya bersyukur kerana muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj, khianat, seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan (parti pembangkang) lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas situasi politik membabitkan kerajaan Perlis yang sebelum ini diterajui pembangkang.
Polemik politik di negeri itu tercetus susulan dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan kehilangan kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli.
Perkembangan itu akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar, sekali gus mencetuskan krisis kepimpinan di negeri berkenaan.


