SHAH ALAM, 30 DIS: Kayu sepanjang hampir lima meter dipercayai alang bumbung sebuah premis lama dua tingkat di Jalan Gurdwara dekat Georgetown, jatuh dan menghempap seorang lelaki yang sedang menunggu isterinya membeli nasi kandar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an sedang duduk di atas motosikal yang diparkir di hadapan sebuah restoran sebelum ditimpa kayu dari bumbung bangunan berkenaan.
Pekerja restoran, Muhamad Ujal, 33, berkata, sebelum kejadian mangsa datang bersama isterinya dengan menaiki motosikal sebelum wanita itu masuk ke dalam restoran untuk membeli makanan.
“Ketika sedang ambil pesanan, saya terdengar bunyi seperti ada benda jatuh dan hadapan restoran berhabuk seketika.
“Kemudian saya lihat mangsa terbaring di lantai dan dia masih sedarkan diri namun tidak dapat dipastikan tahap kecederaannya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurutnya, kejadian itu segera dimaklumkan kepada majikan untuk tindakan lanjut.
“Mujurlah dia masih pakai topi keledar, jika tidak nasibnya mungkin lebih malang,” katanya.
Sementara itu, ahli pasukan sukarela Komuniti Penang Safe, Theam, 63, berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian berkenaan sebelum tindakan segera diambil.
“Saya menghubungi pasukan perubatan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Komuniti Penang Safe adalah pasukan sukarela yang bekerjasama untuk menjadikan Pulau Pinang lebih selamat, terutama bagi kes kecemasan membabitkan jantung, pasukan perubatan kecemasan sukarela dan lain-lain kesedaran jenayah,” katanya.
Difahamkan, premis lama dua tingkat itu menempatkan restoran di bahagian bawah, manakala tingkat atas dijadikan penginapan pekerja.
Kayu yang jatuh dipercayai alang di bahagian bumbung premis berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan bangunan lama di kawasan tumpuan awam dan laluan pejalan kaki itu.
Susulan kejadian, kawasan terbabit dibersihkan oleh pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memastikan keselamatan orang ramai.


