Bekas pengurus besar Air Kelantan bebas tuduhan rasuah

30 Dis 2025, 5:59 AM
Bekas pengurus besar Air Kelantan bebas tuduhan rasuah

KOTA BHARU, 30 DIS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) daripada pertuduhan menerima rasuah bernilai RM10,000 daripada seorang sub kontraktor pada 2015.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu terhadap Wan Mohd Zamri W Ismail, 64, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati wang RM10,000 itu digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada akhir Dis 2014.

“Pihak pembelaan berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas imbangan kebarangkalian," katanya.

Wan Mohd Zamri sebelum ini didakwa menerima rasuah sebanyak RM10,000 daripada Ng Tze Wei melalui cek United Overseas Bank (Malaysia) Bhd yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya

Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd yang dilantik sebagai sub kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej 1, Machang.

Wan Mohd Zamri dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Mahmood di sini pada 22 Jan 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar, manakala Wan Mohd Zamri diwakili peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.

-- BERNAMA