Halal International Selangor sasar jana RM1 juta, perkukuh ekosistem halal

29 Dis 2025, 2:09 PM
Halal International Selangor sasar jana RM1 juta, perkukuh ekosistem halal
Halal International Selangor sasar jana RM1 juta, perkukuh ekosistem halal

SHAH ALAM, 29 DIS: Halal International Selangor (HIS) dijangka menjana pendapatan hampir RM1 juta menerusi penawaran pelbagai perkhidmatan profesional di bawah Halal Selangor Excellence Centre.

Pengurus Besar Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan Antarabangsanya, Muhammad Syaril Showkat Ali berkata inisiatif tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai peneraju ekosistem halal negara yang berimpak tinggi.

“HIS dijangka menjana pendapatan perkhidmatan mampan hampir RM1 juta melalui servis komprehensif pensijilan, program tembus pasaran tempatan dan antarabangsa di bawah Halal Selangor Excellence Centre.

“Ia mengukuhkan Selangor sebagai peneraju ekosistem halal berimpak tinggi dan memperkukuh rantaian nilai serta daya saing ekonomi halal negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan HIS telah menyelesaikan Latihan Fasa Satu bagi proses Pensijilan Halal Antarabangsa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Shenzhen, China, baru-baru ini.

Menurutnya, latihan berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Gansu Korean & Silk Economic & Cultural Center (GKSECC) yang berpangkalan di Linxia, Gansu dan melibatkan penyertaan 20 syarikat tempatan China.

"Latihan itu memberi fokus kepada pematuhan piawaian Pensijilan Halal Jakim yang diiktiraf di peringkat global.

“Inisiatif ini diposisikan sebagai pemangkin pelaburan ke Malaysia dan memperkukuh peranan negara sebagai pusat sehenti halal antarabangsa, dengan anggaran pertumbuhan nilai eksport dan import sehingga RM300 juta kepada ekonomi halal,” katanya.

Untuk rekod, GKSECC merupakan sebuah organisasi yang terlibat dalam pembangunan ekonomi dan budaya, khususnya dalam kerjasama industri halal Malaysia dengan syarikat tempatan di China.

Jakim bekerjasama dengan GKSECC bagi mengukuhkan pemahaman serta pematuhan terhadap piawaian halal Malaysia, sekali gus membantu perniagaan tempatan China memenuhi keperluan pasaran halal antarabangsa.