Wanita dakwa rugi RM80,000 ditipu lelaki menyamar anak EXCO Selangor

29 Dis 2025, 5:58 AM
Wanita dakwa rugi RM80,000 ditipu lelaki menyamar anak EXCO Selangor

SEKINCHAN, 29 Dis: Seorang wanita mendakwa diperdaya sehingga kerugian RM80,000 oleh seorang lelaki yang menyamar menggunakan nama anak kepada EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim yang juga ADN Sekinchan, menggunakan alasan boleh membantu mangsa membuat permohonan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Mangsa yang enggan dikenali hadir ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan untuk mendapatkan bantuan selepas kejadian yang berlaku pada 23 Disember lalu.

Menurut wanita berkenaan, kejadian itu berlakukira-kira jam 9.30 pagi ketika beliau berada di Pasar Sekinchan sebelum dihampiri dua lelaki tidak dikenali, dengan salah seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai anak Ng bernama “Ng Kok Min”.

“Mereka bertanyakan sama ada saya masih mengenalinya. Walaupun saya tidak mengendahkan mereka, kedua-duanya mengekori saya pulang ke rumah dan terus berbual serta bertanyakan jumlah simpanan saya.

“Mereka mendakwa kerajaan mempunyai satu skim bantuan yang akan diagihkan berdasarkan jumlah simpanan individu. Mereka memberitahu saya mempunyai simpanan RM80,000 dan layak menerima bantuan kerajaan sebanyak RM40,000,” katanya.

Wanita itu berkata, kedua-dua suspek kemudian membawanya ke sebuah bank di Kuala Selangor untuk mengeluarkan wang, dengan seorang daripada mereka yang memakai pelitup muka menemaninya turun dari kenderaan.

“Dia turut mengarahkan saya supaya memberitahu pihak bank bahawa wang itu dikeluarkan untuk persiapan perkahwinan anak sekiranya ditanya,” katanya.

Selepas mengeluarkan wang, mangsa dibawa ke sebuah lagi bank dan kenderaan diparkir di lokasi agak jauh. Seorang daripada suspek turun dari kereta kononnya untuk menguruskan urusan, manakala mangsa diminta menunggu di dalam kenderaan.

“Selepas menunggu agak lama dan suspek tidak kembali, seorang lagi lelaki mengajak saya masuk ke bank untuk bertanya. Namun, sebaik saya turun, kedua-dua mereka telah menghilangkan diri. Apabila saya kembali ke tempat kenderaan diparkir, barulah saya sedar telah ditipu,” katanya.

Mengulas perkara itu, Ng menegaskan individu yang menggunakan nama “Ng Kok Min” bukanlah anaknya, malah anak-anak beliau juga tidak berada di kawasan sekitar kejadian.

“Saya telah menghubungi pihak polis berhubung kes ini dan berharap suspek dapat ditahan segera serta wang mangsa berjaya diperoleh semula,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan sindiket penipuan terbabit.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah memperkenalkan sebarang skim pulangan simpanan seperti didakwa.

“Jika ada pihak yang meminta maklumat peribadi kononnya untuk pendaftaran atau penyertaan skim kebajikan, atau menggunakan nama saya, sila rujuk terlebih dahulu pusat khidmat ADN, ahli majlis atau ketua kampung bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.