Remaja lelaki 14 tahun maut nahas dua motosikal

29 Dis 2025, 4:26 AM
Remaja lelaki 14 tahun maut nahas dua motosikal

SHAH ALAM, 29 DIS: Budak lelaki 14 tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama rakan kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Kampung Merah, Kuala Ketil, Baling semalam.

Kejadian dilaporkan kira-kira jam 7 malam itu ketika mangsa bersama rakannya, juga berusia 14 tahun menaiki sebuah motosikal dari arah Kampung Charok Beras menghala ke Kampung Padang Geh, manakala sebuah lagi motosikal ditunggang remaja lelaki 16 tahun dari arah Kampung Paya Besar menghala ke Kuala Ketil, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe, berkata mangsa yang maut di tempat kejadian adalah remaja 14 tahun yang menunggang motosikal, manakala pemboncengnya dan penunggang motosikal berasingan hanya cedera dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. Kejadian ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.