SHAH ALAM, 29 DIS: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Serkam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari Merlimau menghala ke Jasin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan tangan.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba menyebabkan kedua-dua penunggang tidak sempat mengelak.
"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua motosikal terbabas ke lorong kiri jalan hingga menyebabkan seorang penunggang maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian muka dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
Katanya, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Nuralia Asyikin Wan Ibrahim di talian 011-6464 8182 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di 06-529 2222 sambungan 260 untuk menyalurkan maklumat.


