Salah faham SMUE cetus kekeliruan, ADN nasihat rujuk saluran rasmi

28 Dis 2025, 11:15 AM
Salah faham SMUE cetus kekeliruan, ADN nasihat rujuk saluran rasmi

SHAH ALAM, 28 DIS: Orang ramai dinasihatkan merujuk pusat khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) atau saluran rasmi sebelum menyebarkan maklumat berkaitan bantuan dan kebajikan bagi mengelakkan kekeliruan.

ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata kekeliruan berlaku susulan salah faham mengenai Skim Mesra Usia Emas (SMUE) apabila seorang individu menyangka baucar bernilai RM150 boleh dituntut semua individu berusia 50 tahun ke atas.

Beliau berkata salah faham itu kemudiannya disebarkan melalui tangkap layar di WhatsApp dan Facebook, menyebabkan ramai penduduk hadir ke pusat khidmat untuk menuntut baucar bagi kategori umur berkenaan.

“Maklumat yang tular itu tidak palsu sepenuhnya, namun tidak tepat kerana berpunca daripada salah faham terhadap syarat sebenar skim kebajikan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan mendapatkan penjelasan terus daripada pusat khidmat atau saluran rasmi, termasuk Facebook rasmi ADN masing-masing.

Siew Ki menjelaskan SMUE hanya terbuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas, manakala Skim Mesra Insan Selangor (SMIS) ditawarkan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang lahir di Selangor tanpa had umur.

Menurutnya, ahli SMUE dan SMIS yang berdaftar layak menerima baucar hari jadi bernilai RM150 setahun pada bulan kelahiran masing-masing.

Beliau turut mengingatkan kepentingan pengesahan awal bagi mengelakkan salah faham, kesesakan di pusat khidmat dan memastikan bantuan sampai kepada golongan layak.