SHAH ALAM, 28 DIS: Seorang pengasuh ditahan polis kerana didakwa mendera beberapa bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Alam Indah, Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata wanita tempatan berusia 26 tahun itu ditahan pada 16 Disember lalu.
“Sebanyak tiga laporan diterima berkaitan kes ini dan siasatan mendapati hanya seorang sahaja suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) a Akta Kanak-Kanak 2001 dan dilakukan oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar pengasuh di taska terbabit.
Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain selain terdapat dakwaan beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di situ.


