SHAH ALAM, 26 DIS: Aktiviti pelupusan sisa bangunan secara haram berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat menimbulkan kebimbangan penduduk setempat sehingga mendorong laporan dibuat kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kegiatan itu dan menggesa pemilik tanah serta kontraktor terlibat mematuhi prosedur dengan mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Galian serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Bila tak ada kelulusan ini akan timbul isu, contohnya air lecak, kacau ganggu dan masalah bau.
“Apabila pihak berkuasa kena masuk, kalau anda kata tak ada kelulusan (tempat membuang sampah), ini akan menimbulkan masalah.
“Bukan sahaja masalah kepada pemilik tanah, kontraktor malah kepada masyarakat setempat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian susulan laporan mengenai kewujudan tapak pelupusan haram yang menempatkan sisa bangunan di kawasan terbabit.
Mohd Sany turut mengingatkan Taman Sri Nanding pernah mengalami bencana besar pada Disember 2021 apabila hampir 1,000 rumah ditenggelami banjir sehingga paras bumbung, menjadikan isu pembuangan sisa tanpa kawalan lebih sensitif dan perlu diberi perhatian serius.
Beliau menegaskan pihak terlibat dalam pembuangan sisa secara haram itu perlu memahami kebimbangan penduduk mengenai aktiviti tersebut yang boleh berlanjutan dan menjadi semakin tidak terkawal.
“Ini disebabkan ada kes awalan sebelum ini yang membawa masuk tanah dan batu, tetapi kemudian dia bawa pula sampah domestik,” katanya.


