Keputusan kes 1MDB bukan untuk dirai, tapi bukti ketegasan undang-undang

26 Dis 2025, 9:55 AM
Keputusan kes 1MDB bukan untuk dirai, tapi bukti ketegasan undang-undang

SHAH ALAM, 26 DIS: Keputusan penghakiman kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukanlah kemenangan untuk diraikan, sebaliknya mencerminkan ketegasan institusi penguatkuasaan negara dalam menegakkan undang-undang tanpa kompromi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan tersebut adalah hasil ketekunan dan komitmen berterusan pasukan penyiasat serta pendakwaan yang bekerja sejak siasatan bermula pada Julai 2015.

“Siasatan terhadap kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad itu menuntut ketekunan luar biasa, khususnya dalam mendapatkan keterangan serta bukti bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

"Penghargaan wajar diberikan kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan yang kekal beriltizam walaupun berdepan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa sepanjang tempoh siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata proses penyiasatan sangat kompleks dan mencabar, namun pasukan penyiasat tetap mematuhi piawaian perundangan yang ketat bagi memastikan kes dapat dibawa dan dibicarakan di mahkamah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi tempatan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kerjasama sepanjang siasatan.

Selain itu, katanya, kerjasama rentas sempadan juga memainkan peranan penting dalam memperoleh bukti antarabangsa menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance).

“Antara agensi yang memberikan sumbangan amat bernilai ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa dari Belanda dan Barbados,” katanya.

Azam berkata profesionalisme serta komitmen konsisten semua pihak dalam menjayakan kerjasama rentas negara itu amat dihargai dan menjadi asas penting dalam membawa kes 1MDB ke proses penghakiman yang sewajarnya.