Aaron-Wooi Yik pilih pendekatan berhemah, hadkan kejohanan demi kecergasan

26 Dis 2025, 8:26 AM
Aaron-Wooi Yik pilih pendekatan berhemah, hadkan kejohanan demi kecergasan

SHAH ALAM, 26 DIS: Beregu lelaki negara, Aaron Chia, merancang untuk lebih selektif dalam pemilihan kejohanan yang disertai musim depan bagi memastikan tahap kecergasan kekal optimum sepanjang tahun, bermula dengan kempen pembukaan musim di Terbuka Malaysia di Axiata Arena, 6 Januari ini.

Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, pengurusan fizikal kini menjadi keutamaan, namun menegaskan aspek kecergasan bukan isu besar memandangkan program latihan dan pemulihan dilaksanakan secara konsisten sepanjang musim, lapor Berita Harian.

“Kami sasarkan untuk menyertai kurang daripada 20 kejohanan setahun supaya kondisi fizikal dapat dikekalkan dengan baik dari awal hingga hujung musim,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Dalam masa sama, juara dunia 2022 itu memaklumkan, perancangan lebih teliti turut dibuat menjelang musim 2026 termasuk pemilihan kejohanan daripada 12 kejohanan wajib dalam kalendar Jelajah Dunia.

Aaron mengakui faktor usia dan keperluan untuk terus bersaing di tahap tertinggi menuntut pengurusan fizikal yang lebih rapi, sekali gus menjadikan proses pemulihan sebagai elemen penting dalam rutin latihan mereka.

“Jurulatih melihat aspek fizikal dan kecergasan perlu dipertingkatkan. Bukan kerana kami paling tua, tetapi kami sudah boleh dikira pemain senior,” katanya.