PELABUHAN KLANG, 26 DIS: Genap 20 hari tanpa bekalan elektrik, penduduk Blok C Flat Seri Perantau terpaksa melalui malam bergelap bersama anak kecil, warga emas dan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan, menjadikan keadaan semakin mendesak.
Wakil penduduk, Azizul Anuar Abu Karim, 32, berkata hanya kira-kira 30 peratus penghuni berjaya mendapatkan tempat transit sementara, manakala selebihnya terpaksa kekal di rumah masing-masing yang gelap dan berisiko.
Beliau memaklumkan majoriti penghuni terdiri daripada golongan B40 dan asnaf yang amat bergantung kepada kemudahan asas untuk meneruskan kehidupan harian.
“Majoriti penduduk di sini adalah golongan B40 dan asnaf. Ketiadaan elektrik dan lif bukan sahaja menyukarkan kehidupan harian, malah memberi kesan fizikal, mental dan ekonomi, khususnya kepada warga emas, pesakit dialisis serta penghuni yang memerlukan sokongan oksigen,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azizul turut mendedahkan terdapat kediaman yang dihuni sehingga 12 orang termasuk tujuh kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, yang terpaksa tidur dalam keadaan gelap sepenuhnya.
“Ada rumah yang ada lilin, mereka guna lilin. Tetapi bagi yang tidak ada, rumah mereka gelap sepenuhnya,” luahnya.
Dalam tempoh kecemasan itu, katanya, penduduk bergantung kepada semangat gotong-royong komuniti dan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan makanan serta sokongan harian.
“Alhamdulillah, kami menerima bantuan berterusan daripada NGO Gerobok Iman Hawa yang membuka dua khemah sebagai pusat operasi. Setiap hari kami bergotong-royong memasak dan menyediakan sekitar 300 hingga 400 pek makanan untuk penduduk.
“Saya amat mengalu-alukan sekiranya ada NGO atau agensi lain yang ingin tampil membantu,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk Blok D, Zainul Abiddin Abu Hassan, 61, menegaskan terdapat keperluan mendesak untuk menjalankan pemeriksaan berkala terhadap bilik sesalur elektrik (DB) di semua 12 blok, memandangkan bangunan tersebut sudah berusia lebih 20 tahun.
“Jika satu blok boleh terjejas, tidak mustahil blok lain akan menyusul. Mencegah lebih baik daripada mengubat kerana kos pencegahan jauh lebih rendah berbanding kos pembaikan selepas kejadian,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem elektrik tidak pernah dilakukan secara berkala, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan dan kebakaran.
“Justeru, kami memohon agar pemeriksaan kotak utama setiap blok dibuat secara berkala bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, penduduk turut berharap agar penyelesaian segera dapat dicapai demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti, khususnya golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit yang paling terkesan akibat gangguan bekalan elektrik berpanjangan.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran membabitkan bilik DB utama di Blok C menjejaskan keseluruhan 128 unit kediaman, menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan lif sejak 7 Disember lalu.




