Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026

28 Dis 2025, 3:00 AM
Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026
Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026
Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026
Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026
Pasukan boccia Selangor harap lebih dikenali, tekad sumbang pingat Para SUKMA 2026

PETALING JAYA, 28 DIS: Sejak 20 tahun lepas, atlet kelainan upaya (OKU) sukan boccia sudah berkali-kali mengharumkan nama negara di persada dunia, namun sukan khusus OKU itu masih belum mendapat tempat di hati peminat sukan.

Biarpun begitu, sukan boccia terus ada komunitinya tersendiri disebabkan ia adalah satu-satunya sukan dimainkan individu penghidap cerebral palsy. Sukan ini bukan sekadar membina kekuatan fizikal tetapi turut membantu membina keyakinan diri mereka.

Jurulatih Persatuan Boccia Selangor, Nik Norol Azani Nik Aris mendedahkan yang pendedahan mengenai sukan boccia masih rendah dan ini menyebabkan sukan itu sering dianggap sebagai 'sukan bukan pilihan'.

“Di Malaysia orang kurang kenali lagi sukan boccia. Tetapi saya jangkakan ia akan berkembang tidak lama lagi. Wakil kita pernah menang pingat perak di Paralimpik Tokyo dan di Paralimpik Paris kita juga ada wakil finalis.

“Potensi untuk sukan ini berkembang, ada. Saya harap juga pihak media sudi mempromosikan lagi sukan boccia di media massa,” katanya kepada Media Selangor.

Jurulatih Persatuan Boccia Selangor, Nik Norol Azani Nik Aris ketika sesi latihan Pasukan Boccia Selangor di Taman Megah, Petaling Jaya pada 07 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Boccia merupakan permainan melempar bola berwarna merah dan biru di atas permukaan rata dan licin dengan tujuan mencapai atau mendekati sasaran bola putih yang dipanggil 'Jack'.

Pemain atau pasukan mengumpul mata berdasarkan bola yang paling mendekati bola 'Jack' dan semakin dekat jarak bola dengan sasaran, semakin besar peluang untuk memenangi perlawanan.

Dalam pada itu, Nik yang sudah menjadi jurulatih sukan boccia di Selangor sejak 2019, melihat anak-anak cerebral palsy atau spastik ini sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

Beliau sentiasa komited mendidik dan menyuntik semangat pemain untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap acara kejohanan sukan.

“Anak-anak OKU ini seronok dan mudah dijaga. Walaupun ada yang tidak boleh bercakap, tapi kami boleh berkomunikasi melalui mata dan yang lebih isitimewanya mereka faham,” katanya.

Pasukan Boccia Selangor melakukan latihan di Taman Megah, Petaling Jaya pada 07 Disember 2025. Sukan boccia merupakan satu-satunya sukan yang hanya dimainkan individu cerebral palsy. Sukan ini membantu mereka membina keyakinan diri melalui kemahiran strategik, dan kekuatan fizikal. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Nik berazam mengharumkan nama negeri dengan sasaran tiga pingat emas bagi acara sukan boccia pada Para SUKMA akan datang.

Menurutnya, beliau mahu mengulangi kejayaan pasukannya pada Para SUKMA di Kuala Lumpur dengan lapan daripada tujuh atlet boccia Selangor membawa pingat, termasuk dua pingat emas.

“Saya punya sasaran untuk beri lebih lagi iaitu tiga pingat emas, ini sasaran realistik. Melalui acara BC2, BC3 dan BC4 daripada atlet lelaki. Untuk atlet perempuan, kita sasarkan podium,” katanya.

Sementara itu, atlet boccia sepenuh masa Selangor, Muhammad Aqif Iskandar Zuljifri, berkata penyertaannya dalam sukan boccia diibaratkan bagai bulan jatuh ke riba.

Atlet boccia sepenuh masa Selangor, Muhammad Aqif Iskandar Zuljifri ketika sesi latihan Pasukan Boccia Selangor di Taman Megah, Petaling Jaya ditemui pada 07 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Lelaki berumur 30 tahun ini mengakui meminati sukan sejak kecil, namun tidak berpeluang menyertainya dek kerana perbezaan dirinya berbanding rakan sebaya lain.

“Saya kerap ke Bukit Jalil untuk menonton aksi perlawanan bola sepak. Pada suatu hari, ada seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) menyapa saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk bermain boccia.

“Saya memang minat sukan sejak kecil tetapi tiada ruang untuk saya bersukan. Jadi dengan adanya sukan boccia ini, saya gembira kerana dapat tonjolkan bakat terpendam,” katanya yang mula menceburi boccia pada 2019.

Prestasi Muhammad Aqif yang semakin meningkat naik membolehkan dirinya mewakili negara dan bakal membuat kemunculan sulung pada sukan Para Asean ke-13 di Thailand pada Januari ini.

Menurutnya, perasaan gugup dan gementar adalah cabaran utama buat dirinya tetapi beliau berjanji menampilkan aksi terbaik di lapangan bersama rakan sepasukan lain.

“Ini pertama kali saya dapat mewakili Malaysia, sudah tentu saya ada rasa sedikit takut. Tetapi saya janji mahu buat yang terbaik dan enggan menghampakan jurulatih dan keluarga,” katanya.

Atlet boccia sepenuh masa Selangor, Muhammad Aqif Iskandar Zuljifri beraksi ketika sesi latihan Pasukan Boccia Selangor di Taman Megah, Petaling Jaya ditemui pada 07 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Muhammad Aqif berharap sukan boccia akan mula mendapat tempat di hati peminat sukan tempatan serta dilayan sama adil dengan acara sukan-sukan lain.

Menurutnya, sukan boccia sebenarnya memberi sinar baharu dan harapan kepada golongan OKU untuk turut sama merasa peluang bersukan sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Sukan boccia ini ada satu persepsi, sesetengah orang menganggap sukan ini sebagai sukan kesian. Mungkin mereka dapat maklumat yang salah. Pada saya, permainan ini ibarat bermain chess dan memerlukan pemikiran kritis,” katanya mengakhiri bicara.