Kanak-kanak ditemui lemas selepas lebih 16 jam operasi mencari, menyelamat dijalankan

25 Dis 2025, 1:23 AM
Kanak-kanak ditemui lemas selepas lebih 16 jam operasi mencari, menyelamat dijalankan

SHAH ALAM, 25 DIS: Kanak-kanak lelaki yang lemas ketika mandi di Pantai Cherang Laut, Bachok kelmarin ditemui meninggal dunia semalam selepas lebih 16 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Mangsa, Muhamad Irfan Mohd Afendi, 9, ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Saksi kejadian, Mohd Faizal Fauzi, 41, berkata dia bertekad untuk membantu pencarian selepas mengetahui insiden itu menerusi laman sosial.

“Sejak semalam (kelmarin) saya turun ke pantai dan pagi ini (semalam) saya teruskan pencarian di Pantai Senok dan Pantai Cherang Laut. Sampai sahaja di situ, saya baca surah Al-Fatihah dan sebaik selesai, tiba-tiba mayat timbul depan mata.

“Saya terus turun ke laut walaupun ombak kuat. Saya tahan mayat dengan sebatang kayu hampir 20 minit sebelum pasukan penyelamat tiba dan bawa ke daratan,” katanya, lapor Harian Metro.

Mayat murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal itu dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman memaklumkan operasi pencarian melibatkan 55 anggota daripada lima agensi utama.

“Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan tidak melakukan aktiviti mandi-manda di pantai berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika Monsun Timur Laut.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Muhamad Irfan ke pantai bersama ibu bapanya, Mohd Afendi Ya dan Kartini Mahmood serta adiknya, Muhd Hadif, 6 tahun.

Menurut bapanya, mereka sekeluarga ke pantai atas permintaan Muhamad Irfan yang ingin bermain air sebelum berkhatan minggu hadapan sempena cuti sekolah.