SHAH ALAM, 25 DIS: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mempunyai pendirian tersendiri dan tidak semestinya mengikut keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membatalkan keputusan skuad Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam tahun ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya berdepan tekanan selepas tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dibatalkan FIFA minggu lalu susulan penurunan pemain yang didakwa tidak layak.
Situasi itu mencetuskan spekulasi bahawa AFC selaku badan induk bola sepak Asia akan mengenakan hukuman sama terhadap skuad kendalian Peter Cklamovski.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan spekulasi yang tular di media sosial sebagai tidak tepat.
Menurut beliau, AFC masih belum membuat sebarang ketetapan dan kekal berpegang kepada prinsip menunggu keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Tidak betul spekulasi yang beredar ketika ini. Buat masa ini, kita masih menunggu keputusan CAS. Keputusan FIFA juga baru sahaja dikeluarkan dan perlu diteliti terlebih dahulu,” katanya lapor Kosmo!.
Terdahulu, spekulasi turut menyebut kemungkinan keputusan perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam dibatalkan, selain dakwaan Harimau Malaya berisiko digantung daripada menyertai Piala Asia 2027 dan 2031.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 dalam ketiga-tiga aksi persahabatan antarabangsa tahun ini.
Keputusan itu dibuat susulan penurunan pemain warisan yang didakwa terbabit dalam isu pemalsuan dokumen termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kesan daripada keputusan berkenaan menyaksikan ranking dunia Harimau Malaya jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-121 berbanding tempat ke-116 sebelum ini.




