SHAH ALAM, 25 Dis: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan bahawa dakwaan kononnya kesukaran membanteras ajaran Qadiani di Selangor berpunca daripada perlindungan pihak atasan yang mempunyai kaitan dengan institusi istana adalah tidak benar sama sekali.
Pengarah Jais, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, dalam satu kenyataan semalam berkata, dakwaan itu timbul susulan satu rakaman video ceramah yang dimuat naik di platform TikTok oleh pengguna Remy Lepat Liat (@disebaliktiraimimpi) pada 8 Disember lalu, yang mengaitkan isu ajaran sesat di Selangor dengan pihak-pihak tertentu termasuk institusi istana.
Menurut beliau, hasil semakan awal mendapati individu yang menyampaikan ceramah berkenaan merupakan penceramah berdaftar dan memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor, serta ceramah tersebut dipercayai disampaikan di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong.
"Jais menyifatkan kenyataan oleh penceramah tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan suatu perbuatan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan ketegasan Baginda dalam mengekang serta membanteras sebarang penyelewengan akidah dan ajaran sesat di Negeri Selangor," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan menjelaskan bahawa kesukaran mengambil tindakan terhadap ajaran Qadiani berpunca daripada kedudukan fatwa yang telah memutuskan ajaran tersebut terkeluar daripada agama Islam masing-masing pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
"Keputusan fatwa ini telah memberi kesan kepada bidang kuasa Penguatkuasa Agama Jais yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah kepada orang Islam sahaja sebagaimana dinyatakan di bawah Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya lagi.
Tambah beliau, Jais tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat berhubung kewujudan individu yang mempunyai kaitan rapat dengan istana sebagai dalang kepada penularan ajaran Qadiani di Selangor.
Sehubungan itu, katanya, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan meneliti kenyataan penceramah berkenaan bagi menentukan sama ada ia bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan menegaskan usaha membanteras ajaran sesat di Selangor dilaksanakan secara berterusan berdasarkan peruntukan undang-undang serta keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, dengan mengambil kira fakta, saksi dan keterangan yang sah di sisi undang-undang.
Beliau turut mengingatkan semua pendakwah, penceramah dan masyarakat agar menyampaikan maklumat yang tepat, berlandaskan penelitian mendalam serta beradab, khususnya apabila melibatkan kedudukan institusi istana dan peranan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri.
“Sebarang maklumat berkaitan ajaran sesat hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan fitnah dalam masyarakat,” katanya.


