Bina potensi anak istimewa: Perspektif Islam dan kepentingan intervensi awal

26 Dis 2025, 3:00 AM
Bina potensi anak istimewa: Perspektif Islam dan kepentingan intervensi awal
Bina potensi anak istimewa: Perspektif Islam dan kepentingan intervensi awal
Bina potensi anak istimewa: Perspektif Islam dan kepentingan intervensi awal
Bina potensi anak istimewa: Perspektif Islam dan kepentingan intervensi awal



Anak istimewa, sama ada yang mengalami kelewatan perkembangan, autisme, masalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan atau ketidakupayaan fizikal adalah amanah Allah yang besar kepada ibu bapa dan masyarakat.

Dalam Islam, setiap manusia diciptakan dengan kemuliaan dan nilai tersendiri, tanpa mengira kekurangan atau kelebihan fizikal dan mental.

Oleh itu, intervensi awal bagi anak istimewa bukan sekadar isu perubatan atau pendidikan, bahkan satu tuntutan moral dan agama yang berteraskan kasih sayang, tanggungjawab dan keadilan.

Islam tidak melihat kekurangan sebagai aib, tetapi sebagai ujian dan medan pahala. Allah SWT berfirman dalam ayat ke-4, Surah al-Tin:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Ayat ini menegaskan setiap ciptaan Allah adalah sempurna menurut hikmah-Nya, walaupun berbeza dari sudut kemampuan. Kekurangan bukan ukuran kehinaan, malah ukuran sebenar di sisi Allah ialah takwa dan usaha.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berbual dengan kanak-kanak berkeperluan khas semasa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Dewan Teratai MBSA, Shah Alam, pada 7 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap penuh empati terhadap golongan yang mempunyai keterbatasan.

Baginda melantik sahabat yang buta, Abdullah bin Ummi Maktum, sebagai muazzin dan pemangku Madinah ketika ketiadaan baginda. Ini membuktikan Islam mengiktiraf potensi dan peranan setiap individu.

Intervensi awal

Intervensi awal merujuk kepada usaha pengesanan, rawatan, bimbingan dan latihan yang dilakukan seawal mungkin dalam usia kanak-kanak bagi mengoptimumkan perkembangan mereka.

Ia merangkumi terapi pertuturan, terapi pekerjaan, fisioterapi, pendidikan khas, sokongan emosi dan bimbingan keibubapaan.

Dari sudut Islam, intervensi awal adalah sebahagian daripada ikhtiar yang dituntut syarak. Abu Daud dan Al-Tirmizi adalah meriwayatkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

“Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan ubatnya.”

Hadis ini menjadi asas mencari rawatan dan bantuan adalah satu keharusan, malah digalakkan.

Kepentingan invervensi awal mengikut perspektif Islam:

Pertama, menunaikan amanah dan tanggungjawab ibu bapa - anak adalah amanah Allah.

Dalam ayat ke-6, Surah al-Tahrim, Allah berfirman;

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

Menjaga anak bukan hanya dari segi akidah dan akhlak, tetapi juga memastikan keperluan perkembangan mereka dipenuhi.

Mengabaikan intervensi awal sedangkan kemampuan dan peluang ada boleh dianggap kecuaian terhadap amanah tersebut.

Kedua, mengoptimumkan potensi fitrah anak - setiap anak lahir di atas fitrah. al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak dilahirkan di atas fitrah…”

Intervensi awal membantu membersihkan halangan perkembangan agar fitrah ini dapat berkembang dengan sebaiknya. Anak istimewa juga mempunyai potensi intelek, emosi dan spiritual yang boleh disuburkan jika dibimbing sejak awal.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berbual bersama penerima pada Majlis Serahan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS, Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketiga, mengurangkan mudarat dan kesukaran di masa hadapan - kaedah fiqh menyebut: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”

Intervensi awal dapat mengurangkan kesukaran yang lebih besar di kemudian hari, seperti masalah tingkah laku, keciciran pendidikan, tekanan emosi dan kebergantungan melampau. Islam menggalakkan pencegahan sebelum mudarat menjadi lebih besar.

Keempat, memelihara maruah dan psikologi anak - Islam sangat menekankan pemeliharaan maruah manusia. Intervensi awal membantu anak istimewa membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan keupayaan berdikari, sekali gus mengelakkan mereka daripada stigma, ejekan atau pengasingan sosial.

Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Kasih sayang ini termasuk memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan.

Kelima, membina masyarakat inklusif dan berkeadilan -

Islam adalah agama keadilan dan ihsan. Memberi peluang intervensi awal kepada anak istimewa adalah manifestasi keadilan sosial. Masyarakat Islam dituntut untuk saling membantu dan tidak meminggirkan golongan lemah.

Dalam ayat ke-2, Surah Al-Maidah bahawa Allah berfirman:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebajikan dan takwa.”

Sokongan institusi, guru, pakar terapi dan komuniti adalah sebahagian daripada amal kebajikan yang besar pahalanya.

Intervensi awal untuk anak istimewa bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan yang selari dengan prinsip Islam.

Ia mencerminkan kefahaman terhadap konsep amanah, ikhtiar, rahmah dan keadilan. Anak istimewa bukan beban, tetapi ladang pahala dan medan jihad kesabaran bagi ibu bapa serta masyarakat.

Dengan intervensi awal yang berteraskan ilmu, doa dan tawakal, anak istimewa berpeluang menjalani kehidupan yang lebih bermakna, berdikari dan dekat dengan Allah.

Sesungguhnya, Islam hadir sebagai rahmat untuk seluruh alam, termasuk mereka yang sering diuji dengan keterbatasan, namun kaya dengan potensi dan hikmah.