SHAH ALAM, 23 DIS: Pelancongan masjid yang dilaksanakan secara tersusun dan beretika mampu menjadi medium berkesan menyampaikan mesej Islam sebagai agama rahmah, selain memperkukuh perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk.
Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Datuk Muhammad Farhan Wijaya berkata pendekatan itu membolehkan masjid berfungsi bukan sekadar sebagai tempat ibadah, tetapi ruang pembelajaran dan interaksi antara budaya serta agama.
“Institusi masjid turut menjadi ruang masyarakat memahami Islam secara sederhana dan berhikmah melalui pendekatan pelancongan beretika,” katanya berucap ketika Pelancaran Program Salam Shah Alam: Mosque Tourism Insight sempena Mosque Open Day di sini, lapor Sinar Harian.
Program itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi taklimat pelancongan masjid, tayangan video korporat Mosque Tourism, penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik dan lawatan berpandu ke sekitar masjid yang menjadi ikon Selangor itu.
Program itu turut membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk mengenali fungsi masjid, memahami asas Islam serta menghayati seni bina dan sejarah masjid itu yang terkenal dengan kubah biru ikoniknya.
Menurut Muhammad Farhan pelaksanaan program itu selari dengan peranan masjid sebagai institusi sosial yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, pada tahun lalu, masjid berkenaan merekodkan lebih 90,787 kunjungan pelancong antarabangsa, sekali gus menunjukkan potensi besar masjid itu untuk diketengahkan sebagai model pelancongan masjid bertaraf antarabangsa.
“Angka itu membuktikan masjid ini mempunyai tarikan tersendiri dan berupaya menjadi ikon pelancongan Islam yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Menurut Presiden Malaysia International Tourism Development Association (MITDA), Kapten Mahadzir Mansor, inisiatif pelancongan Islamik mampu memperkukuh ekosistem pelancongan Islam negara serta meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam global.
“Masjid memainkan peranan penting sebagai pusat warisan, ilmu dan dakwah yang inklusif,” katanya.
Katanya kerjasama strategik antara masjid, agensi kerajaan dan pemain industri pelancongan amat penting yang mana ia secara tidak langsung dapat memastikan pelancongan masjid dilaksanakan secara mampan dan profesional.



