Pemandu e-hailing wanita warga emas parah dikelar, kereta dilarikan

23 Dis 2025, 9:24 AM
Pemandu e-hailing wanita warga emas parah dikelar, kereta dilarikan

SEPANG, 23 DIS: Pemandu e-hailing wanita warga emas cedera parah di leher dan lengan kiri selepas diserang serta dikelar menggunakan senjata tajam di parkir kawasan perindustrian Medan 20, Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 9.40 malam, dan mangsa dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan serta ditempatkan di wad bagi pemantauan rapi. Suspek dipercayai seorang lelaki tempatan yang dikenali mangsa.

Norhizam berkata, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan kereta Perodua Bezza milik mangsa, yang kemudian ditemui selepas terbabit kemalangan di Taman Desa Melati, Fasa 3, Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata pada jam 11.15 malam, IPD Nilai mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 69 tahun, dipercayai suspek, dan menemui kerambit di dalam kenderaan mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya menyebabkan kecederaan kekal.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Mohd Faiz Zuki di 011-27328077 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.