SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan Negeri akan memastikan tindakan pembersihan diambil di setiap ‘hotspot’ kotor, termasuk saliran belakang restoran susulan teguran Sultan Selangor baru-baru ini.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata pihaknya masih menunggu senarai daripada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kawasan yang sering mengalami masalah sampah.
“Minggu ini semua PBT perlu serahkan senarai kawasan, selewat-lewatnya Jumaat. Senarai kawasan perlu bagi mengetahui punca kerana ada sesetengah kawasan kutipan dilaksana tetapi isu berpunca komuniti setempat.
“Tindakan seterusnya selepas kenal pasti kawasan, kita akan pastikan semua PBT tingkatkan pemantauan dan kekerapan pembersihan, segala kelemahan akan ditambah baik,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, beliau menggesa PBT mengadakan pemeriksaan dan pemantauan berkala di restoran supaya mengikut undang-undang termasuk memasang perangkap minyak.
“Selain isu sampah, kita juga akan pastikan setiap restoran menguruskan saliran dengan baik.
“Ini penting supaya saliran longkang tidak terkumpul akibat kesan pembuangan minyak yang tidak betul. Malah pemantauan ini juga dapat mengurangkan banjir kilat disebabkan saliran tersumbat,” katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor dan mahu tindakan segera dilaksanakan untuk membersihkan negeri.
Baginda bertitah peningkatan aduan lengkap dengan maklumat pengadu menunjukkan rakyat benar-benar mahukan langkah susulan, sekali gus mencerminkan keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.
Titah baginda, Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan dan pentadbiran yang baik, “tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan.”
Susulan itu, Kerajaan Negeri memulakan operasi pembersihan besar-besaran dengan menerjah beberapa lokasi ‘hotspot’ kotor, termasuk saliran belakang restoran.
Operasi pembersihan besar-besaran pertama bermula di Seksyen 7 terdapatnya restoran beroperasi 24 jam yang dikenal pasti banyak sisa tersumbat kerana kesan minyak yang dibuang.
Seterusnya, operasi pembersihan menerjah kawasan perumahan Flat Taman Chi Liung, Pandamaran. Didapati, keadaan persekitaran di kawasan berkenaan yang kotor dan berbau busuk berpunca daripada pembuangan sampah yang tidak teratur, termasuk lambakan sampah pukal yang dibuang oleh peniaga luar.



