KUALA LUMPUR, 23 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda negeri Pantai Timur dan Johor bermula 25 Disember ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan yang terlibat ialah seluruh Terengganu manakala Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh dari 25 hingga 28 Disember ini.
Keadaan sama dijangka melanda Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) dari 26 hingga 29 Disember.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web rasmi www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.


