Perkhidmatan ETS kembali beroperasi guna satu landasan

23 Dis 2025, 7:02 AM
Perkhidmatan ETS kembali beroperasi guna satu landasan
Perkhidmatan ETS kembali beroperasi guna satu landasan
Perkhidmatan ETS kembali beroperasi guna satu landasan

SHAH ALAM, 23 DIS: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terganggu susulan kejadian pokok tumbang semalam kembali beroperasi seperti biasa menggunakan satu landasan di laluan Sungkai – Slim River, Perak bermula 6.32 pagi hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan walaupun operasi sudah disambung semula, kelewatan perjalanan masih berlaku susulan kerja baik pulih sistem elektrifikasi yang sedang dilaksanakan oleh pasukan teknikal bagi memastikan keselamatan operasi tren.

Menurut KTMB, penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak menerima pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perjalanan, tertakluk mengikut terma dan syarat sedia ada.

Selain itu, penumpang yang mengalami kelewatan tren empat jam atau lebih dan telah membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist (010-368 7829) atau melalui e-mel support@goinsure.com.my.

.

Terdahulu, KTMB menyediakan 12 bas bagi pemindahan penumpang ke Stesen Slim River (arah Utara) atau Stesen Sungkai (arah Selatan) sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan tren. Tidbits dan air mineral turut disediakan kepada penumpang bagi kesemua 12 tren yang terjejas.

KTMB memaklumkan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan melalui media sosial rasmi KTMB, manakala pertanyaan boleh dibuat melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.

Semalam, media melaporkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter terganggu akibat kejadian pokok tumbang pada jam 4.20 petang, yang menyebabkan 12 tiub ‘cantilever’ patah dan menjejaskan bekalan kuasa tren di laluan Sungkai–Slim River.