SHAH ALAM, 23 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sindiket dadah antarabangsa menjadikan premis dalam kebun durian di Teluk Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang sebagai makmal haram bagi pemprosesan dadah jenis syabu dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM38 juta.
Kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN yang membawa kepada beberapa siri serbuan serentak pada Sabtu dan Ahad lalu sekitar negeri ini, lapor Berita Harian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Gurdwara, Georgetown, seramai tiga lelaki warganegara asing berusia antara 32 hingga 38 tahun ditahan dan mereka dipercayai bertindak sebagai ahli kimia memproses dadah.
Manakala seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun mati di lokasi selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan itu ketika cuba melarikan diri menerusi tingkap.
"Pada serbuan itu, polis merampas sebanyak 26 kilogram (kg) disyaki methamphetamine dan pelbagai peralatan pembungkus dadah.
"Serbuan kedua dijalankan di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill berhampiran lokasi sama, yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula serta merampas dadah berkenaan seberat 474kg.
"Serbuan ketiga pula membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan kebun durian di Teluk Bahang di sini, yang disewa sindiket sejak September lalu dengan harga RM80,000 setahun," katanya di lokasi serbuan, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, di kebun durian dengan keluasan kira-kira 32 hektar itu, polis merampas serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 60 kg, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 54 kg.
"Juga cecair disyaki methamphetamine seberat 574 kg serta pelbagai peralatan memproses dadah yang dibawa masuk dari luar negara.
"Jumlah keseluruhan rampasan daripada ketiga-tiga serbuan itu kira-kira 1.2 tan syabu yang dianggar mampu digunakan hampir enam juta penagih jika terlepas di pasaran," katanya lagi.
Menurut Hussein, pihaknya turut menyita aset bernilai RM181,000 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, sebuah Toyota Vios, sebuah 'forklift' Toyota dan sebuah kenderaan ATV, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM38 juta.
Katanya, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan diketuai individu dari luar negara yang menggunakan Malaysia sebagai hab pemprosesan dadah, sebelum bekalan dihantar ke pasaran antarabangsa dan tempatan.
"Modus operandi sindiket adalah membawa masuk bahan prekursor dan peralatan dari luar negara, kemudian melantik seorang koordinator tempatan bagi mencari lokasi seperti kebun durian, sebelum menghantar ahli kimia dari luar negara bagi menjalankan proses pengeluaran dadah.
"Setakat ini kita mengesan sekurang-kurangnya tujuh penghantaran dadah sudah dibuat ke Australia dan Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa dengan setiap penghantaran dianggarkan seberat dua kilogram," katanya.
Hussein berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek warga asing positif methamphetamine, selain dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal termasuk seorang pernah dipenjarakan selama tujuh tahun.
"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.



