KLANG, 22 DIS: Dasar Speed Selangor yang dilancarkan pada Oktober lalu membantu mempercepat kelulusan pembinaan kilang dan menarik minat pelabur, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.
Beliau berkata, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kawasan perindustrian sedang dibangunkan, termasuk di Klang, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sepang, menerima banyak pertanyaan berkaitan dasar baharu itu.
“Kami berharap melalui inisiatif dan dasar baharu ini, kecekapan dalam memberikan kelulusan pembinaan kilang dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Syntec Intelligence Technology Sdn Bhd di Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.
Pada Oktober lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Speed Selangor bagi mempercepatkan kelulusan projek pembangunan dan lesen perniagaan. Tempoh kelulusan dipendekkan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek perindustrian dan komersial berimpak tinggi serta strategik.
Speed Selangor menekankan kemudahan perniagaan dengan memastikan proses yang pantas dan cekap oleh PBT tanpa menjejaskan ketelusan serta akauntabiliti kerajaan.
“Pemaju boleh memulakan pembinaan selepas 30 hari. Itulah tawaran kami menerusi inisiatif Speed Selangor,” katanya sambil memaklumkan proses kelulusan pantas itu menerima sambutan baik dan mewujudkan aliran pelabur yang kukuh.
“Saya yakin inisiatif ini akan menjadi satu lagi tarikan utama Selangor,” katanya.
Beliau berkata, Selangor terus menjadi pilihan pelabur untuk pelaburan baharu sama ada pelaburan langsung domestik (DDI) atau pelaburan langsung asing (FDI).
Menurut Sze Han, perhatian khusus turut diberikan kepada projek DDI sebagai komitmen negeri untuk mengimbangi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Sze Han berkata Speed Selangor memberi kesan positif kepada projek syarikat seperti Syntec Technology dan menyatakan keyakinan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual, dijangka pada suku pertama 2027.


