SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun lemas dalam tali air sawah ketika mencari ikan di Kampung Permatang Tepung, Merchong, Nenasi, Pekan, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Alif Fahmi Abdullah, yang juga murid tahun enam.
Jelas beliau, berdasarkan laporan, mangsa bersama ibu serta tiga adiknya ke kawasan tali air sawah untuk mencari ikan, sebelum pulang jam 6 petang.
"Bagaimanapun, mangsa bersama adik lelaki berusia sembilan tahun serta dua rakan kembali ke tali air tanpa pengetahuan bapa dan ibu mangsa.
"Ketika mencari ikan di tali air itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum rakan meminta bantuan penduduk kampung dan pencarian dilakukan.
"Mangsa ditemui kira-kira dua meter di dalam air iaitu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan Klinik Kesihatan Nenasi membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia.
"Hasil laporan bedah siasat Unit Forensik Hospital Daerah Pekan mengesahkan bahawa sebab kematian mangsa adalah berpunca daripada lemas," katanya.


