AMPANG JAYA, 22 DIS: Beberapa gambar kawasan tanah mendap dan air bertakung di Tanah Perkuburan Ukay Perdana tular di media sosial baru-baru ini, mencetuskan kebimbangan orang ramai yang menyangka berlaku kejadian tanah runtuh serius.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata mendapan tanah biasa berlaku di kawasan berstruktur tanah lembut dan berpasir, lebih-lebih lagi selepas hujan lebat luar biasa sebelum ini.
“Kejadian mendapan tanah adalah perkara biasa, sama seperti kubur baharu yang biasanya mendap dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas pengebumian dan memerlukan penambahan tanah semula.
“Keadaan ini bukan berpunca daripada kecuaian, sebaliknya faktor semula jadi struktur tanah yang masih dalam proses pemadatan,” katanya kepada Media Selangor.
Gambar yang tular dirakam ketika kawasan berkenaan masih ditenggelami air. Namun, hasil tindakan pantas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), kerja-kerja baik pulih awal berjaya dilaksanakan dalam beberapa jam, menstabilkan kawasan dan mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
Sebagai langkah jangka panjang, MPAJ telah memulakan kerja baik pulih cerun, dengan proses penstabilan sepenuhnya dijangka mengambil masa empat bulan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan kawasan.
Pada masa sama, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Antarabangsa bersama MPAJ merancang mengadakan gotong-royong memperbaiki kapok kubur yang rosak pada awal Januari 2026. Waris diminta menghubungi pihak pengurusan Tanah Perkuburan Ukay Perdana bagi maklumat lanjut.


