SHAH ALAM, 21 DIS: Karnival Kesedaran Pencegahan Jenayah di Kawasan Lapang Blok 4, Perumahan Desa Mentari, Petaling Jaya menjadi platform memperkukuh kerjasama antara komuniti, pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, pendekatan kebersamaan melibatkan penduduk, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan menjadi elemen penting dalam usaha pencegahan jenayah di kawasan perumahan.
“Karnival seperti ini memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan kawasan kediaman,” katanya ketika merasmikan program, semalam.
Karnival anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Komuniti Gabungan Desa Mentari (GDM) itu disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor SAC Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Beliau berkata, penglibatan aktif komuniti melalui program kesedaran dan pendidikan mampu membantu polis mengekang jenayah di peringkat akar umbi.
“Keselamatan bukan tanggungjawab polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk setempat,” katanya.
Turut hadir Setiausaha MCPF Selangor Datuk Muhammad Fuad Talib; Pengerusi MCPF Petaling Jaya Dato’ Seri Dr. Hasbullah Mohd Salleh; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Petaling Jaya DSP Sivakumar Thankaraja; Ketua Bomba Zon 2 Petaling PgKB I Amran Jaya serta Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBPJ Mohd Fauzi Maarop.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut membuka Pameran Pelan Induk Keselamatan dan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi memperkukuh jaringan strategik bersama komuniti dan agensi keselamatan.
Program itu selari aspirasi Petaling Jaya sebagai Bandar Paling Bahagia dan Mampan melalui pendekatan keselamatan menyeluruh dan berteraskan penglibatan komuniti.





