SHAH ALAM, 22 DIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A yang dikendalikan dua lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan di perairan Kuala Langat, malam tadi.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tangkapan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia kira-kira 7.30 malam ketika menjalankan rondaan rutin.
“Vesel berkenaan telah diperiksa sebelum ditahan pada kedudukan 4.61 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang kru warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, selain tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Abdul Muhaimin berkata kedua-dua individu berusia 40 tahun itu turut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, apabila vesel berkenaan tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.
“Kru, vesel serta peralatan perikanan bersama hasil laut yang terdapat di atasnya telah disita sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang oleh pihak tidak bertanggungjawab.


