SHAH ALAM, 22 DIS: Kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan, Nur Asyura Medina yang menghidap Biliary Atresia sejak lahir, dijadual menjalani pembedahan pemindahan hati pada 9 pagi esok di Hospital Shanghai, China.
Medina tiba di China pada Khamis lalu bersama keluarganya sudah mengikuti prosedur pemeriksaan awal sebagai persiapan pembedahan.
Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata, jadual pembedahan itu baharu sahaja dimaklumkan kepada mereka dan ketika ini kesihatan anak tunggalnya dalam keadaan baik, lapor Harian Metro.
"Harapan kami sekeluarga, tidak putus mendoakan Medina supaya kembali sihat seperti kanak-kanak lain.
"Doakan segala urusan esok dipermudahkan dan Medina dijauhkan daripada segala komplikasi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum berlepas ke China, minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan isteri yang menaja kos perubatan Medina berjumlah RM120,000, sempat menemui kanak-kanak itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memberi sokongan moral.
Dr Akmal turut menyatakan hasrat untuk melawat Medina di China dalam masa terdekat.
Beliau mengakui gembira dan dalam masa sama gementar menanti pembedahan Medina serta berharap ada sinar buat kanak-kanak itu menjalani kehidupan lebih baik.
Beliau memohon jasa seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kanak-kanak itu selamat menjalani pembedahan dan dikurnia kesihatan yang baik selepas ini.
"Insya-Allah, kita percaya pada ketentuan Allah," katanya yang sudah meminta semua masjid dan surau di Merlimau untuk mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan Medina.
Besar pengorbanan Dr Akmal, derma RM120,000 tabungan haji untuk selamatkan nyawa Medina


