SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus memperkasakan pembangunan sukan memanah menerusi penganjuran National Field Archery Championship #3 di Panorama @ Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, di sini, Sabtu lalu.
Kejohanan itu menghimpunkan pemanah dari pelbagai negeri bagi menguji keupayaan serta kemahiran masing-masing berlandaskan semangat kesukanan dan disiplin tinggi.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya penganjuran kejohanan berprestij yang berpotensi melahirkan atlet berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“MPAJ melihat sukan memanah sebagai cabang sukan yang mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya diberikan sokongan berterusan, selain berperanan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Menurut beliau, kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi platform pencarian bakat, malah mampu menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk nilai disiplin serta mengukuhkan kerjasama antara komuniti sukan dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, MPAJ akan terus komited menyokong penganjuran program dan kejohanan sukan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
Sebagai rekod, National Field Archery Championship #3 merupakan antara kejohanan memanah lapangan yang mendapat sambutan pemanah dari seluruh negara dan dianjurkan secara berkala bagi memperkukuh ekosistem sukan memanah di Malaysia.




