Masalah teknikal punca paramotor langgar kabel TNB

22 Dis 2025, 3:10 AM
Masalah teknikal punca paramotor langgar kabel TNB

SHAH ALAM, 21 DIS: Seorang pemandu paramotor cedera ringan selepas terjatuh ke dalam sawah dipercayai akibat melanggar kabel elektrik semasa Program Larian Antarabangsa Budaya Duyong 2025, Melaka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, paramotor yang dikendalikan seorang lelaki dari Kelab Paramotor Negeri Selangor dilaporkan mengalami masalah teknikal ketika berada di kawasan sawah di Kampung Ku Sayang, Bukit Baru.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, paramotor berkenaan terhempas dari ketinggian kira-kira 30 meter sebelum jatuh ke dalam sawah.

“Mangsa hanya mengalami luka kecil di bahagian muka manakala paramotor pula mengalami kerosakan ringan.

“Tiada kecederaan lain dilaporkan termasuk melibatkan orang awam yang berada di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir bagi memeriksa kabel elektrik yang dilanggar dan mengesahkan tiada kerosakan dikesan.

“TNB juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Sejak semalam, beberapa klip video insiden itu tular di media sosial memaparkan detik kejadian ketika program larian edisi ketiga itu berlangsung, yang disertai lebih 20,000 peserta dari seluruh negara termasuk Indonesia.