SHAH ALAM, 21 DIS: Malaysian Indian Voice (MIV) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam seorang lelaki beragama Hindu yang dibakar hingga mati di Bangladesh, yang disifatkan sebagai jenayah berat terhadap kemanusiaan serta pelanggaran melampau terhadap maruah insan.
Pengerusinya V Papparaidu berkata perbuatan kejam itu mencerminkan kegagalan nilai moral dan runtuhnya prinsip ketamadunan selain sama sekali tidak boleh diterima atas apa jua alasan termasuk politik, agama atau ideologi.
“Tindakan membakar seorang manusia hingga mati adalah keganasan paling biadab dan tidak mempunyai sebarang justifikasi. Ia mesti dikecam secara mutlak tanpa kompromi dan tanpa sebarang alasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan serius terhadap serangan ganas terbaharu di Bondi yang mengorbankan nyawa orang awam tidak bersalah termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Kehilangan nyawa akibat kebencian, ekstremisme atau keganasan radikal, tanpa mengira latar belakang agama atau kepercayaan mangsa, merupakan tragedi kemanusiaan yang sama sekali tidak boleh diterima dan mesti ditangani secara tegas,” katanya.

Papparaidu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) menegaskan tiada mana-mana agama yang mengajarkan kebencian, keganasan atau pembunuhan.
Menurutnya, sebarang jenayah yang dilakukan atas nama agama atau ideologi merupakan penyelewengan terhadap ajaran sebenar serta pengkhianatan terhadap nilai asas kemanusiaan.
“Pelaku jenayah keji ini mesti dikenal pasti, disiasat, didakwa dan dihukum mengikut undang-undang sepenuhnya secara telus dan tanpa kelewatan, di mana sahaja mereka berada,” tegas beliau.
Beliau berkata penyasaran dan penindasan berterusan terhadap minoriti agama dan etnik di peringkat global, termasuk komuniti Hindu di Bangladesh, bukan insiden terpencil sebaliknya sebahagian daripada pola ekstremisme dan intoleransi yang semakin membimbangkan.
“MIV menegaskan hak asasi manusia adalah sejagat dan tidak boleh dibahagi-bahagikan. Perlindungan terhadap golongan minoriti merupakan tanggungjawab asas setiap negara.
“Sehubungan itu, MIV menggesa badan hak asasi manusia antarabangsa serta kuasa-kuasa global supaya mengambil tindakan segera dan tegas bagi mengekang keganasan berasaskan kebencian dan ekstremisme,” tambahnya.
Beliau turut menuntut kerajaan interim Bangladesh supaya menjalankan siasatan segera, bebas dan telus terhadap kes pembunuhan berkenaan serta memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah.
Sebagai sebuah negara majmuk, katanya, Malaysia memahami bahawa keamanan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui saling menghormati, kebertanggungjawaban serta pematuhan tegas kepada kedaulatan undang-undang.
“Ini bukan isu agama tertentu, sebaliknya isu kemanusiaan sejagat. Serangan terhadap satu nyawa yang tidak bersalah adalah serangan terhadap seluruh umat manusia,” katanya.
Selain itu, MIV menegaskan pendirian tegas untuk terus menentang segala bentuk keganasan, kebencian dan ekstremisme, serta kekal komited mempertahankan keadilan, maruah insan dan perlindungan setiap individu tanpa diskriminasi.


