Penyasaran subsidi minyak jimat RM800 juta, ketirisan kepada warga asing dibendung

21 Dis 2025, 8:38 AM
Penyasaran subsidi minyak jimat RM800 juta, ketirisan kepada warga asing dibendung

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan menjimatkan kira-kira RM800 juta hasil pelaksanaan penyasaran subsidi minyak menerusi inisiatif BUDI95, setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati rakyat Malaysia serta membendung ketirisan melibatkan lebih 3.5 juta warga asing dan aktiviti penyeludupan bahan api ke luar negara.

"Setiap daripadanya dipulangkan kembali kepada rakyat melalui STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), selain menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara," katanya menerusi Facebook.

Pelaksanaan BUDI95 menandakan kali pertama penyasaran subsidi minyak dilaksanakan secara menyeluruh selepas isu berkenaan dibincangkan lebih 20 tahun oleh kerajaan terdahulu tanpa pelaksanaan.

Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.